Antara penyokong yang tidak ketinggalan menaiki bas untuk ke Bangkok adalah Abdullah Fadzeely Muhamad Arif yang jelas teruja apabila kali pertama mengharungi perjalanan lebih 1,500 kilometer (km) yang menelan masa 17 jam dengan menaiki bas.
Juruteknik berusia 21 tahun itu berkata, semua yang dilakukan itu semata mata demi Malaysia dan mahu memastikan sokongan mereka tetap ‘sampai’ kepada pemain negara di atas padang.
“Semua ini atas dasar semangat kepada negara selain memberi pengalaman baharu untuk saya apabila berpeluang melihat banyak perkara menarik sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bangkok.
“Sebelum ini, saya hanya menyaksikan aksi dalam negara dan kali ini, saya mahu melihat Malaysia layak ke final pula,” katanya yang mula bertolak pada jam 1 pagi, Isnin lalu.
Sementara itu, rakannya yang turut menaiki bas yang sama, Muhammad Shimir Mazli menjelaskan ini kali kedua dia menggunakan pengangkutan darat untuk ke Bangkok selepas kali pertama pada separuh akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium Rajamangala.
Tegasnya, semangat untuk terus memberi sokongan padu sama seperti aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil membuatkan dia juga mahu menuju ke Bangkok.
“Demi Harimau Malaya, kami sanggup buat apa saja dan berkorban apa saja. Saya memilih bas untuk merasai suasana meriah bersama rakan lain.
“Kos keseluruhan menelan belanja kira kira RM600 termasuklah untuk bas, tiket perlawanan dan perjalanan di Bangkok,” katanya.