• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Perkhidmatan LRT di enam stesen dihentikan mulai Ahad ini

Mar 31, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) di enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dihentikan bermula Ahad ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan, hari ini, berkata pemberhentian operasi itu kerana tren digunakan untuk perkhidmatan antara Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

“Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

“Bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang terjejas, pihak Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT 13 dan LRT 14 bermula Ahad ini sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas LRT 11 sedia ada,” katanya.

Katanya, laluan perkhidmatan bas itu membabitkan bas LRT 11 dari LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya-LRT PWTC-LRT Titiwangsa-LRT Sentul-LRT Sentul Timur.

“Bagi bas LRT 13 pula dari LRT Masjid Jamek-LRT Sentul-LRT Sentul Timur dan bas LRT 14 dari LRT Masjid Jamek-LRT Titiwangsa.

“Perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 ini akan beroperasi dengan 40 bas dan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa,” katanya.