• Sun. Jun 4th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Peruntukan Pembangkang, sila berunding dengan Zahid kata Anwar

Apr 4, 2023
Spread the love

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak bagi menentukan parameter yang diluluskan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata Ahli Parlimen pembangkang perlu bersedia untuk berdepan sebarang kebarangkalian, jika enggan berbuat demikian.

Saya sudah sebut di sini (Dewan Rakyat) kelulusan telah diputuskan, cuma Timbalan Perdana Menteri (serta) Putrajaya mengetuai pasukan (rundingan) dan minta supaya pembangkang mengadakan rundingan tentang parameters diluluskan.

“(Justeru) apa masalah dia, kalau mereka (pembangkang) tidak bersedia (untuk berunding) mereka kena tanggung. Saya sudah beritahu kepada Kubang Kerian (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pun begitu.

“Sudah ada kelulusan dan biar ada rundingan kerana ini juga perkara yang dilakukan dulu oleh Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Sebelum itu tiada kelulusan untuk berbincang (ketika era Kerajaan Perikatan Nasional),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan mengenai peruntukan kepada pembangkang, mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Media sebelum ini, melaporkan, Anwar menegaskan beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.