• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1442H PAS SHAH ALAM

Spread the love

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya kita dapat memasuki tahun baru 1442 hijrah.

Peristiwa hijrah juga mengajar kita supaya bersedia menghadapi sebarang cabaran atau kemungkinan, dan dengan itu berusaha supaya kemungkinan sesuatu peristiwa buruk tidak berlaku. Sebelum hijrah, Baginda Rasulullah SAW merapatkan hubungan dengan pembesar-pembesar Madinah sehingga sudah terdapat perjanjian dan sumpah setia orang Madinah kepada Baginda SAW.

Apabila di Madinah, penganut Islam telah menghadapi beberapa percubaan daripada kaum Jahiliah untuk menawan Madinah. Semua dugaan ini dapat diatasi oleh Rasulullah SAW dan pengikut-pengikutnya, apabila mereka bersedia untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan buruk dan tentangan-tentangan seperti itu.

Kejayaan hijrah pertama dalam sejarah Islam ini juga telah mengubah landskap akidah, ibadah, dan akhlak yang membina tamadun masa depan ummah.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat ke 100 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati dibumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Marilah sama-sama kita bersatu, mara ke hadapan bagi memartabatkan maruah Islam dan ummah melalui semangat kebersamaan dan kesatuan yang kuat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Orang Islam adalah yang menyelamatkan kaum Muslimin daripada lisan dan tangannya, dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT kepadanya.”(Riwayat al-Bukhari, Abu Dawud dan al-Nasa’i)

Justeru, marilah kita bermuhasabah diri kita kepada Allah SWT. Semoga dengan semangat hijrah sempena kehadiran tahun baru, bersama-samalah kita memohon keampunan, memperbanyakkan doa supaya perjalanan kehidupan kita pada tahun 1442 Hijrah ini bertambah baik dan cemerlang sebagai insan mukmin yang muttaqin.

Salam MAAL HIJRAH 1442.

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
Yang Dipertua
PAS Kawasan Shah Alam