• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PH silap langkah, Pendakwaan Sanusi tingkat sokongan pengundi – Penganalisis

Jul 18, 2023
Spread the love

Penahanan dan pendakwaan yang dibuat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak akan melemahkan, malah akan menguatkan populariti dan sokongan beliau dalam kalangan pengundi.

Menurut Penganalisis Politik, Prof Wong Chin Huat, Muhammad Sanusi akan dilihat sebagai mangsa penganiayaan dan pejuang di mata penyokongnya seterusnya membantu Perikatan Nasional (PN) dalam berkempen kelak.

“Saya rasa penahanan dan pendakwaan Sanusi ini akan membantu pihak PN kerana beliau akan dilihat sebagai seorang pejuang di mata penyokong beliau.

Penyokongnya akan melihat Sanusi sebagai mangsa penganiayaan dan bukan melemahkan PN, namun, akan terus tambah sokongannya,” jelas beliau ketika ditemubual Awani pada Selasa.

Jelas Chin Huat, populariti Sanusi tidak dinafikan sangat besar sehingga pelbagai serangan daripada pihak lawan sukar dilawan.

Tambahnya lagi, penangkapan ini juga jelasnya akan beri amaran kepada semua orang untuk tidak menyentuh mengenai isu 3R (raja, bangsa, agama).

“Saya rasa cara pihak lawan untuk menyerang tanpa henti Sanusi dilihat kurang berjaya.

“Penangkapannya ini juga dikatakan akan memberi amaran kepada penyokongnya untuk lebih berhati-hati, namun, tidak akan melemahkan populariti Sanusi dalam kalangan penyokong tegarnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, dalam usaha untuk bersaing dengan populariti ini, satu pihak lain perlu memberi tawaran alternatif.

Antara tawaran itu, kata Chin Huat, melibatkan persaingan berasaskan bukti bagi isu integriti dan rasuah serta persaingan penyelesaian dan polisi. – Awani