• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PH sombong terpisah, dari rakyat kata Wan Saiful

Feb 20, 2023
Spread the love

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa Parti Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi sombong dan terpisah daripada rakyat.

Malah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut menzahirkan rasa kecewa dengan cara kerajaan campuran di antara PH dan Barisan Nasional (BN) dalam menangani rintihan rakyat.

“Kerajaan kayangan ini tidak memahami kesukaran hidup rakyat yang merayu untuk membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Nampaknya semenjak duduk dengan BN, rakan-rakan PH telah terlupa agenda rakyat yang sering dilaung-laungkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

Menurutnya, pada Jumaat lalu beberapa pertubuhan akar umbi telah berkumpul di depan Pejabat Perdana Menteri untuk menyampaikan memorandum rayuan yang dibuat.

“Jika situasi tidak serius, sudah pasti mereka tidak berkumpul sebegitu di tengah panas. Ini membuktikan bahawa situasi sekarang adalah mendesak.

“Perlu ditegaskan permohonan kita adalah pengeluaran bersasar. Maksudnya kita boleh wujudkan peraturan untuk memastikan ada keseimbangan antara memenuhi keperluan hari ini dan memastikan kesejahteraan masa depan,” katanya.

Tambah beliau, peranan kerajaan yang sebenar adalah mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat.

“Kerajaan tidak seharusnya menolak mentah-mentah apabila rakyat merintih,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menerangkan bahawa isu berkenaan sering kali dibangkitkan di Parlimen.

“Saya harap kerajaan kayangan ini turun berpijak di bumi yang nyata dan segera bantu rakyat. Jangan sombong dengan kuasa yang ada.

“Gunakan kuasa untuk manfaat rakyat, bukan untuk balas dendam kepada mereka yang lantang sahaja,” katanya.