• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PH tumbang bersama BN jika Najib, Zahid bebas kata MP PKR

Apr 10, 2023
Spread the love

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan rebah tersungkur bersama-sama Barisan Nasional (BN) jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat bebas begitu mudah sekali.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, isu melibatkan pengampunan Najib dan penangguhan kes Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu memberi kesan negatif terhadap imej baik Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, perkembangan yang berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin juga amat menyeramkan dan membimbangkan.

.“Seterusnya, melalui Perkara 42(9) menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara.


“Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah disebut dengan jelas bahawa takrif kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah Perkara 42(4)(b) bahawa kuasa Agong dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan mengikut Fasal (5) Perkara 42,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

“Kemungkinan senario yang tidak diingini akan berlaku. Jika Najib diberi pengampunan diraja dan 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid digugurkan maka kesan dua hal besar ini adalah suatu malapetaka kepada kerajaan pimpinan Anwar.

“Perdana Menteri perlu diingatkan. Gabungan politik PH dan PKR akan ditolak oleh rakyat dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“PH dan PKR seterusnya akan dinyahkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Jika itu berlaku, jangan kata saya tak ingatkan,” ujarnya