Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 diperketatkan yang berkuat kuasa hari ini adalah keputusan terbaik buat masa ini bagi membendung penularan jangkitan Covid-19, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Beliau berkata bagaimanapun, pelaksanaan PKP itu harus dilihat semula dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi terkini pandemik tersebut.
“Saya percaya ini adalah keputusan terbaik ketika ini namun pada masa akan datang, kita akan lihat balik kalau esok lusa kes masih lagi meningkat.
“Sekiranya tidak ada solusi maka kita boleh kenakan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya tapi persediaan perlu dibuat dari sekarang,” katanya kepada media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.
“Kita bukan nak tolak (perintah kawalan pergerakan sepenuhnya), kita sudah jelaskan situasinya kerana kalau kita mahu buat sekarang, lebih baik kita bersedia, kalau tidak akan ada orang yang terselamat daripada Covid-19 tapi ada juga yang akan mati kelaparan, atau tidak mendapat bekalan makanan secukupnya.
“Sebab itu, saya rasa kerajaan persekutuan juga telah mengambil kira cadangan kita dan pandangan kita mengenai perintah kawalan pergerakan ini,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan PKP selama dua minggu di Selangor bermula 6 Mei lepas telah menunjukkan penurunan kes dari beberapa kluster.
“Semalam baru dua minggu kita melaksanakan PKP 3.0 dan kita nak tengok kesannya lagi dua minggu (6 Jun) iaitu bagaimana PKP 3.0 ini dilaksanakan, adakah kita berjaya menunjukkan pengurangan.
“Jadi datanya menunjukkan ada pengurangan kes dari sekolah dan institutsi pendidikan, sudah tentu kerana kita tutup operasinya dan kita tengok kes-kes di tempat kerja ada pengurangan walaupun masih tinggi berbanding dua ke tiga minggu lepas sebab kita sudah kurangkan orang di tempat kerja,” katanya.
Justeru, Amirudin yakin langkah kerajaan mewajibkan kehadiran hanya 20% petugas bagi sektor awam dan 60% bagi sektor swasta semasa pelaksanaan PKP 3.0 diperketatkan akan mampu mengurangkan lagi kadar jangkitan.
Beliau turut meminta Majlis Keselamatan Negara membantu orang ramai yang terpaksa membatalkan janji temu bagi mendapatkan vaksin selepas dikesan positif Covid-19.
“Kita mahu mereka dibantu kerana selepas dikesan positif Covid-19, mereka akan ada sela masa tiga hingga enam bulan untuk tidak sewajarnya menerima vaksin, oleh itu, (mereka) harus dibantu untuk disusun semula jadual mereka agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada menerima vaksin,” katanya.