• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PKR sembah derhaka terhadap agong? – Dr Kamarul

Spread the love

Selain “menzahirkan keyakinan penuh Al-Sultan Abdullah ke atas kemampuan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini”, kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, semalam menyebut dua perkara utama.

Perkara pertama adalah bahawa “Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19”.

Perkara kedua adalah bahawa:
(1) “Al-Sultan Abdullah menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19”.


(2) “Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak. Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-Ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan”.

Adalah amat janggal sekali bila Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, tiba-tiba sahaja mengeluarkan satu kenyataan media balas dalam mana:
(1) Beliau meluahkan perasaan “amat gusar dan bimbang” beliau dengan kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, ini.


(2) Beliau beranggapan kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara adalah “satu pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen”.


(3) Beliau menegaskan “Ahli-Ahli Parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan di dalam sidang parlimen termasuk sidang berkenaan Belanjawan 2021 tanpa ada sebarang tekanan atau pengaruh sesiapa (undue influence)”.


(4) Beliau menegaskan “semua pihak dan institusi perlu menghormati parlimen dengan menyediakan suatu keadaan yang kondusif bagi membolehkan Ahli-Ahli Parlimen bebas menentukan pendirian dan membuat keputusan”.


(5) Beliau menegaskan “tidak ada sesiapa boleh mengarah, mendesak, memujuk atau memaksa Ahli-Ahli Parlimen supaya menyokong dan meluluskan sesuatu rang undang-undang belanjawan negara termasuklah Belanjawan Tahun 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti”.

Tidak ada apa-apa perkara yang salah dan tidak ada apa-apa pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan pun di dalam kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara ini.

Lihatlah betapa lembutnya bahasa yang digunakan oleh Istana Negara:
(1) “Menzahirkan harapan (kepada kerajaan sekarang)”.
(2) “Menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat” dan “menyeru Ahli-Ahli Dewan Rakyat”.

Tidakkah jelas bahawa “harapan”, “nasihat” dan “seruan” ini bukan dibuat secara berpilih tetapi kepada kesemua pihak, iaitu kepada kerajaan sekarang dan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira parti?

Lihatlah pula sebab mengapa “harapan”, “nasihat” dan “seruan” ini dibuat:
(1) “Kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat”.
(2) “Kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara”.

Apakah pihak-pihak yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong ini tidak mahu turut menjaga “kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat” dan “kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara” juga?

Tidakkah titah ini selaras dengan lafaz Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dalam mana Baginda berikrar “menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan” serta “berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”?

Selaku seorang peguam, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR ini sepatutnya tahu:
(1) Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah “Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan…”
(2) Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong…”
(3) Prinsip kedua Rukun Negara, selepas prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan”, juga adalah prinsip “Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara”.

Selaku seorang rakyat Malaysia berbangsa Melayu, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR ini juga sepatutnya tahu membezakan maksud istilah-istilah “menasihati” dan “menyeru” dengan maksud istilah-istilah “mengarah, mendesak, memujuk atau memaksa”.

Selaku seorang rakyat Malaysia beragama Islam, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR ini juga sepatutnya akur kepada Firman Allah di dalam Surah al-Nisa’ Ayat 59 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”

DR. KAMARUL ZAMAN HJ YUSOFF

https://facebook.com/story.php?story_fbid=3739600469417317&id=100001022016761