• Sun. Jan 26th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PM tolak buat PRU15 lebih awal, masa tak sesuai

Jun 1, 2022
Spread the love

SHAH ALAM, 1 JUN 2022 – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya lebih awal susulan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup.

Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia, di Tokyo, baru-baru ini, Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, beliau masih menunggu waktu sesuai untuk membubarkan Parlimen.

Katanya lagi, kenaikan harga barang makanan serta kos sara hidup itu, dilihat berpunca dari ketegangan yang berlaku di peringkat global akibat peperangan antara Rusia dan Ukraine.

“Kita sekarang sedang menghadapi peningkatan inflasi, dengan harga barangan yang melambung tinggi … awak rasa ia waktu yang sesuai (untuk adakan pilihan raya?,” katanya seperti dilaporkan Nikkei.

Memetik laporan Awani, Ismail yang juga merupakan naib presiden Umno, didakwa sedang menghadapi tekanan dari pihak tertentu dalam parti, bagi membubarkan Parlimen lebih awal.

Menurut laporan media terdahulu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kenaikan inflasi antara 2.2% hingga 3.2% tahun ini, dengan kenaikan harga barangan sekitar 4.3%.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pembubaran Parlimen tidak boleh dilakukan melebihi tempoh dibenarkan Perlembagaan Persekutuan (Ogos 2023), tetapi untuk mengadakannya lebih awal bergantung kepada situasi semasa.

“Insyaallah saya akan membuat keputusan bila waktu yang sesuai,” katanya.

Selain itu, Ismail dilaporkan sebagai berkata, beliau adalah seorang patuh kepada kehendak parti, dan akan menurut keputusan Umno serta Kabinet dalam soal pembubaran Parlimen.