• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“PMX halalkan konsert?” – Ketua Pemuda PAS Selangor

Jun 19, 2023
Spread the love

  1. Baru-baru ini, tular rakaman video sebuah konsert yang berlangsung di dalam Dewan Universiti Malaysia Terengganu berdurasi 37 saat memaparkan gelagat penuntut lelaki dan perempuan berhibur sambil menari hingga menarik perhatian.
  2. Lebih mengejutkan, semasa Program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan semalam, PMX memberikan jaminan akan berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan sedikit ruang kebebasan untuk mengadakan konsert yang terkawal dan berunsurkan kebudayaan.
  3. Persoalannya, ke manakah halatuju kerajaan Madani untuk mahasiswa jika undang-undang sedia ada tidak dikawal dengan baik, apatah lagi dengan memberikan ‘extra’ kelonggaran terhadap konsert.
  4. Masih segar lagi dalam ingatan rakyat Malaysia apabila PMX sendiri yang seolah-olah memberikan ‘green light’ dan meraikan peminat kumpulan “Coldplay” untuk hadir ke konsert tersebut.
  5. Apa yang kita boleh harapkan sebenarnya daripada Kerajaan Madani? Di kala PMX hadir ke majlis para ulama untuk meraikan majlis ilmu yang dihadiri ramai anak muda, dalam masa yang sama, beliau juga turut membenarkan anak-anak muda hadir ke konsert dengan memberikan kelonggaran kepada undang-undang.
  6. Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai universiti terbanyak dalam Malaysia. Sudah pasti Selangor juga menjadi sasaran PMX untuk mengekalkan kuasa melalui jelajah universiti ini.
  7. Terang lagi bersuluh, di kala jelajah seluruh universiti sedang giat dijalankan, ‘kelonggaran’ ini hanyalah sekadar ‘gula-gula politik’ untuk meraih undi anak muda.
  8. Kesannya, akhlak anak muda yang kita harapkan kononnya akan menjadi semakin baik dengan kerajaan Madani pun hanyalah retorik semata-mata. Kelonggaran kepada penganjuran konsert hanyalah menghancurkan lagi akhlak anak-anak muda yang sedia ada hancur bahkan bakal menjerumuskan lagi ramai anak muda ke lembah kerosakan.
  9. #SelangorBaharu sudah pasti amat mengambil berat tentang akhlak anak muda. Mereka adalah generasi masa depan yang akan meneruskan agenda pembangunan negara. Dengan #SelangorBaharu, agenda pembentukan akhlak anak muda akan terus diperkasakan demi melahirkan generasi yang baik akhlaknya, cerdas akalnya, cergas orangnya.

Mohamed Sukri Omar
Ketua Pemuda PAS Selangor