• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PMX kantoi, titah Sultan Selangor bukti isu Kalimah Allah belum dirujuk ke Majlis Raja-Raja

Jun 8, 2023
Spread the love

Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Anwar Ibrahim semalam berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam membuktikan perkara ini dikeluarkan oleh perdana menteri sendiri, kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, titah baginda yang meminta supaya isu itu dirujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja jelas menunjukkan bahawa isu ini belum dirujuk Majlis Raja-raja seperti yang didakwa oleh Anwar sebelum ini.

“Kes Jill Ireland dikeluarkan oleh (ahli Parlimen) Tambun sendiri apabila kata dah rujuk kepada Majlis Raja-raja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Semalam kita dapat tahu Sultan Selangor telah keluarkan kenyataan selaku pengerusi MKI bahawa baginda mahu isu ini dibawa ke Majlis Raja-raja.

“Maknanya isu ini belum dirujuk lagi.”

Pada 15 Mei, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan yang difailkan pada 18 April lepas itu menyatakan bahawa kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Seterusnya pada 23 Mei lalu, Anwar ketika di Dewan Rakyat menafikan dakwaan bahawa keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah di mahkamah tidak dirujuk kepada Majlis Raja-raja.

Beliau yang juga ahli Parlimen Tambun berkata, keputusan perkara itu telah dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-raja.

Pada masa sama, Hamzah turut memaklumkan bahawa usul persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) bagi memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah di negara ini ditolak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, semalam.