• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PN guna logo PAS di Kelantan, Terengganu hadapi PRN

Apr 9, 2023
Spread the love

Perikatan Nasional (PN) mengguna pakai formula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menyelesaikan penggunaan logo bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo Pas untuk menghadapi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) nanti.

“Empat negeri lain, kita akan guna logo PN,” katanya selepas mengadakan mesyuarat khas bersama kepimpinan PN Kelantan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamarudin Md Nor dan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Menurut beliau, pertemuan pada Sabtu itu turut membincangkan soal politik dan persiapan bagi berdepan PRN.

Katanya, agihan kerusi gabungan di enam negeri sudah hampir diselesaikan dan perkara tersebut sudah dibawa kepada perbincangan di peringkat pusat menerusi Jabatan Perundingan Kerusi Pusat untuk tindakan selanjutnya.

Muhyiddin memberitahu, pihaknya turut membincangkan isu manifesto yang akan digunakan pada PRN nanti semasa mesyuarat tersebut.

Ujar beliau, secara keseluruhan Kelantan sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN.