GABUNGAN Perikatan Nasional (PN) Kelantan, PAS dan Bersatu melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menyenaraikan 18 tawaran kepada pengundi di negeri itu.
Bertemakan ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’, sebanyak 96 pengisian program ditawarkan antaranya pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (TAPS).
Tawaran lain membabitkan program pembangunan sosioekonomi yang memberi fokus pembukaan bandar-bandar baru dan membangunkan bandar sempadan yang mampu menambah peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.
Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tawaran itu adalah program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.
“Ini bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan sebagai janji malam ini.
“Apa yang kita tawarkan itu juga mengikut keupayaan negeri selepas mengadakan perbincangan dan berharap rakyat terus mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program PN Kelantan.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, pihaknya telah berjaya menyelesaikan 98 peratus manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai isu membabitkan Nik Mohamad Abduh, beliau berkata perkara itu sudah selesai dan tidak perlu diperbesarkan.
“Itu semua sudah selesai, sahabat kita semua,” katanya.
Terdahulu, Nik Mohamad Abduh mengumumkan mahu berehat daripada politik untuk satu tempoh tertentu yang dipercayai ada kaitan berhubung isu tidak dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.