• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PN tolak permohonan PEJUANG

Mar 21, 2023
Spread the love

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan menolak permohonan parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) untuk menyertai gabungan itu.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu, malam tadi, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mesyuarat turut dihadiri Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau; dan wakil parti gabungan.

Dalam satu kenyataan hari ini (21 Mac 2023), Hamzah berkata PN juga membuat ketetapan menggunakan logo PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri di Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain menggunakan lambang PN.

Enam negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Julai depan.

Tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu kini ditadbir PN menerusi PAS, manakala Negeri Sembilan dan Selangor (PH-PKR) dan Pulau Pinang (PH-DAP).

Sebanyak 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan serta Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32).

“Masjid Tertinggi Perikatan Nasional juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Kedah, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan menggunakan lambang parti PAS di Kelantan serta Terengganu.

“Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” kata Hamzah dalam kenyataan itu.

Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata PN juga mengumumkan pelantikan-pelantikan berikut:

  • Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional;
  • Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sabah;
  • Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan; dan
  • Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif PN.