BAITULMAQDIS: Polis Israel menyerbu memasuki Masjid Al-Aqsa hari ini dan menyerang serta memaksa warga Palestin yang mahu bersolat pada keluar dari tempat suci itu.
Mereka memberi alasan serbuan itu bertujuan mengeluarkan beberapa jemaah yang dikatakan merancang untuk ‘menjejaskan ketenteraman awam’ dan mengganggu sembahyang pada waktu pagi serta lawatan oleh warga Israel selain pelancong.
Setakat ini, tiada maklum balas diterima baik daripada pihak berkuasa Palestin atau pegawai hal ehwal agama Islam, yang sebelum ini kerap mengecam tindakan Israel menceroboh memasuki tempat suci.
Dalam perkembangan lain di Ramallah, dua askar Israel cedera dalam satu kes tembakan yang didakwa dilakukan kumpulan bersenjata Palestin di bandar Huwara, Tebing Barat.
Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PLFP), dalam satu kenyataan, mengaku bertanggungjawab atas tembakan itu, ketika tentera Israel mendakwa pihaknya sedang mengejar suspek.
Kes itu adalah tembakan ketiga dilaporkan di sekitar Huwara dalam tempoh sebulan, ketika bulan suci Ramadan yang secara kebetulan sebahagiannya bersamaan dengan perayaan Paskah Yahudi, yang sebelum ini kerap menyaksikan keganasan berlaku.
Bagi menghilangkan kebimbangan, solat Jumaat Ramadan pertama di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, dijalankan secara aman, dengan kawalan ketat pasukan keselamatan Israel.
Pagi tadi, pegawai Israel dan Palestin membuat komitmen pada mesyuarat di Mesir untuk mengurangkan keganasan ketika Ramadan, namun pada hari sama, seorang warga Palestin menembak pasangan Israel dalam kereta di Huwara, mencederakan seorang lelaki.
Seorang lelaki bersenjata dari kumpulan Hamas membunuh dua penduduk Israel di dalam sebuah kereta di bandar yang sama ketika pusingan pertama rundingan damai Israel-Palestin, bulan lalu di Aqaba.
Penduduk Israel pula bertindak balas terhadap serangan itu dengan membakar rumah dan kereta rakyat Palestin, membunuh sekurang-kurangnya seorang mangsa.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang sebelum ini mendapat kritikan meluas, berkata Israel tidak boleh membiarkan serangan dari bandar itu menjadi rutin.
“Apabila diserang, kita mesti mengambil tindakan yang ketara,” katanya, tanpa mengulas lanjut.
Sepanjang tahun lalu, tentera Israel melakukan ribuan tangkapan di Tebing Barat dan membunuh lebih 200 rakyat Palestin, termasuk pejuang dan orang awam, manakala lebih 40 warga Israel dan tiga warga Ukraine mati dalam serangan Palestin. – REUTERS/ BH