• Wed. Sep 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Politik baharu, usaha rapatkan jurang antara kaum di Perak – Razman

Dec 22, 2022
Spread the love

POLITIK BAHARU DAN USAHA UNTUK MERAPATKAN JURANG ANTARA KAUM DI NEGERI PERAK

INTIPATI UCAPAN PERBAHASAN YB HAJI RAZMAN ZAKARIA | SIDANG DN PERAK MESYUARAT KEDUA, TAHUN PERTAMA DEWAN NEGERI KE LIMA BELAS :

Oleh kerana Perak adalah pencetus kepada politik baharu, saya mencadangkan supaya sebarang tuntutan-tuntutan, tindakan serta ucapan yang berbentuk perkauman atau menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kerajaan perlu tangani dengan cermat supaya tidak mengguris mana-mana kaum , ia adalah seperti :

  1. Tuntutan untuk memberi tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baru
  2. Desakan mengiktiraf Sijil Unified Examination Independent Chinese Secondary (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Cina Bebas di mana Perak antara negeri yang banyak mengeluarkan pelajar lulusan UEC.

Ini kerana Pengiktirafan Sijil UEC tidak adil kepada mereka yang sedang dan telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

Pelaksanaan UEC dibimbangi akan mewujudkan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara dan boleh menghakis identiti kebangsaan di Malaysia. Pengiktirafan Sijil UEC adalah tidak selaras dengan dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan.

  1. Dakwaan mengenai pusat pendidikan swasta khususnya yang dikaitkan dengan pendidikan Islam yang didakwa wujud nilai ekstremisme yang selama ini tidak pernah wujud satu bukti atau laporan mengenai institusi ini menerapkan perkara yang ekstrem seperti di Pusat Asuhan Tunas Islam,- PASTI & Sekolah Rendah Intergasi Tunas Islam – SRITI )
  2. Cadangan untuk menyemak semula keperluan mengadakan pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Ini disebabkan beberapa pihak disebelah sana (ahli kerajaan) amat konsisten untuk pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan, tambahan lagi, EXCO Kerajaan Tempatan Perak sendiri ada menyatakan di media untuk mengkaji semula pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan.
Jadi kita perlu tahu apakah pendirian sebenar kerajaan mengenai perkara ini?

Pada hemat saya, pilihanraya Berkuasa Tempatan ini sudah pasti akan mengecilkan peranan dan kuasa pihak berkuasa negeri serta mampu mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang bandar dan luar bandar.

  1. Dakwaan pemimpin veteran politik yang seolah – olah menghina keputusan rakyat yang menyokong dan memilih gelombang hijau dan menampakkan Islamphobia

Perkara-perkara, kenyataan serta tuntutan seperti di atas secara tidak langsung mendorong polarisasi kaum ini semakin melebar.

Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperbanyakkan program libat urus dan integrasi di antara kaum supaya lebih memahami sensitiviti perkara – perkara yang tidak boleh dan boleh disentuh serta perkara yang telah termaktub KONTRAK SOSIAL semasa mengubal perlembagaan Malaysia sehingga membawa kepada persetujuan menukar Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia.

Ini selaras degan Titah Tuanku Paduka Seri Sultan Perak pada perenggan ke 10 muka surat 3 iaitu :

Oleh itu, setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk. Warga di negara ini, terutamanya generasi muda perlu diberikan bimbingan dan fahaman mengenai sistem berkerajaan dan bernegara yang berteraskan doktrin demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan; serta pentingnya warga memahami dan menghayati lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara untuk dijadikan pedoman dalam usaha mahu memupuk warga yang bersatu padu, hidup penuh harmoni dalam sebuah negara merdeka yang berdaulat, aman lagi makmur.

YB HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
KETUA PEMBANGKANG MERANGKAP
ADN GUNUNG SEMANGGOL

21 DISEMBER 2022