PAS menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengambil berat tentang kemaslahatan rakyat.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, PAS mengutamakan kematangan semua pihak dan tindakan yang membawa kesejahteraan kehidupan seluruh masyarakat.
“Ini juga membawa pendekatan budaya politik Islam selari dengan slogan perjuangan PAS iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
“Oleh demikian, semua pihak seharusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada solusi untuk mengatasi masalah rakyat yang dihadapi,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Justeru, beliau amat menyokong titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru semua ahli politik supaya mengetepikan agenda politik sempit.
“Insya-Allah, kami dari Perikatan Nasional (PN) akan memberi fokus kepada kepada kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.
Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu hormat-menghormati di antara satu sama lain agar mewujudkan suasana harmoni seperti yang dititah oleh baginda.
Tambahnya, usaha itu bertepatan dengan komitmen PN untuk menjadi pembangkang yang berkredibel dengan memantau perancangan dan tindakan kerajaan demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 13/2/2023