• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Politik tidak bertamadun: Balas dendam, hukuman ke atas rakyat

Dec 26, 2022
Spread the love

MUTAKHIR ini, berlaku beberapa insiden yang tidak selayaknya. Adun PAS mula disekat daripada mengajar dalam masjid di beberapa daerah negeri Pahang.

Saya difahamkan ia adalah arahan daripada Exco berkenaan daripada Kerajaan Gabungan BN-PH Negeri Pahang.

Fenomena ini sangat mengecewakan. Sementelah YB yang diarah batalkan kuliah pengajiannya di masjid itu adalah figura yang berilmu dan mendapat berpendidikan Islam yang formal serta mempunyai ijazah dalam bidangnya.

Memberi ilmu dan mendidik masyarakat adalah sebahagian daripada tanggungjawab pemimpin. Apabila beliau menjadi wakil rakyat, maka tugas memandaikan ummah tidak pernah dikesampingkan.

Selain berkhidmat, menjaga kebajikan dan membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri, membekalkan ilmu akhirat dan membentuk pemikiran serta peribadi rakyat agar lahir insan dan masyarakat yang solehah juga merupakan satu tanggungjawab besar seorang wakil rakyat.

Kenapa harus mereka dihalang daripada menjalankan tugasan ini?

Apakah Exco terbabit mahu membalas dendam dan menghukum Adun PAS kerana mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya tempoh hari? Hakikatnya, dendam dan hukuman itu turut menimpa rakyat yang memilih kerana mereka juga dahagakan ilmu.

Bukankah Malaysia negara demokrasi dan pilihan raya diadakan untuk rakyat memilih? Reda dan terimalah ketetapan Allah SWT yang telah diterjemah melalui pilihan yang telah dibuat oleh rakyat.

Pilihan raya telah berakhir. Kerajaan telah dibentuk. Maka ini masa untuk kita sama-sama membangunkan negeri. Membina dan mendidik masyarakat agar lahir rakyat yang baik. Patuh pada syariat dan peraturan.

Sekat menyekat, tuduh menuduh, fitnah memfitnah ini cara politik lama yang telah ketinggalan jauh ke belakang. Menyanggah tamadun.

Kerajaan juga wajar mengiktiraf pembangkang agar menjalankan tugas semak dan imbang bagi melahirkan kerajaan yang kompeten. Tidak perlu sesak nafas dengan kewujudan pembangkang.

Semua berperanan dengan sudut masing-masing demi agama, negeri dan rakyat keseluruhannya.

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit
1 Jamadil Akhir 1444 | 25 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 25/12/2022