• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Presiden PAS kekal Ahli Parlimen Marang

Jun 27, 2023
Spread the love

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak petisyen untuk pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tahun lalu bagi Parlimen Marang yang difailkan UMNO Terengganu, Januari lalu.

Ia sekali gus mengekalkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi itu yang dimenangi pada November lalu dengan 41,729 undi.

Pada 3 Januari lalu, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.