KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Beliau menerusi satu hantaran di laman Facebooknya hari ini berkata, pelantikan itu sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh beliau, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Marang itu berharap semoga gandingan Muhyiddin bersama Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, segala usaha dan perancangan memulihkan negara berjalan lancar, demi menjamin kelangsungan hidup dan kestabilan ekonomi rakyat.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya Rabu lepas.
Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 4/9/2021