Prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan kerana terus berlegar menghampiri paras terendah apabila mata wang tempatan itu melebihi paras RM4.60 pada awal minggu ini.
Pada petang 1 Jun lalu ringgit berada pada paras 4.6110/6165, menyaksikan penyusutan empat hari berturut-turut sebelum ia kembali melantun pada Jumaat untuk ditutup kukuh sedikit pada 4.5745/5785 berbanding dolar AS.
Prestasi merudum ini membuatkan ramai berasa kurang senang dan mula mempersoalkan kemungkinan mata wang tempatan itu jatuh melebihi paras RM5 berbanding dolar AS.
Ringgit mencecah paras terendah dalam sejarah pada 4 November tahun lalu apabila ia berada pada RM4.7465, merosot melangkaui paras RM4.7250 yang direkodkan pada 7 Januari 1998 ketika negara berdepan krisis kewangan Asia.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, baru-baru ini menjelaskan prestasi ringgit yang merosot itu adalah disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan kewangan di AS, namun jawapan yang diberi itu tetap menerima kecaman ramai terutama di media sosial apabila orang ramai menggesa ahli Parlimen Pandan itu untuk mencari jalan penyelesaian.
Ini kerana, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR semasa berada di blok pembangkang aktif mengkritik pentadbiran lalu mengenai prestasi ekonomi serta ringgit dan sering mengaitkan kejatuhan kedua-dua itu dengan prestasi menteri atau kerajaan.
Menjelaskan mengenai situasi naik turun ringgit, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengukuhan atan penyusutan mata wang tempatan itu sebenarnya ditentukan oleh kuasa pasaran yang didorong oleh permintaan.
Beliau berkata, tidak mustahil untuk ringgit melebihi paras RM5 berbanding dolar AS sekiranya kuasa pasaran menentukan begitu.
“Hakikat pengukuhan atau penyusutan ringgit ditentukan oleh pasaran,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Jadi persoalan, adakah ia boleh mencecah RM5 bagi setiap unit dolar AS? Jika kuasa pasaran yang tentukan sudah pasti ia sesuatu yang boleh berlaku.
“Cuma, kita risau impaknya. Apabila (ringgit) semakin lemah, maka inflasi yang diimport itu lebih banyak lagi.”