• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PRK: Dua faktor boleh sumbang kemenangan PN

Aug 29, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Faktor penyatuan pengundi Melayu dan ketidakpuasan hati penyokong serta akar umbi UMNO yang didakwa masih keliru dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH), dipercayai boleh menyumbang kepada kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata gelombang rakyat yang cenderung memihak PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini, dijangka menembusi negeri selatan tanah air itu.

Selain sambutan menggalakkan oleh penduduk setempat terhadap ceramah anjuran PN di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, beliau menjangkakan bakal berlaku peralihan undi daripada penyokong UMNO di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, gelombang rakyat sudah sampai ke Johor melalui daerah Muar, iaitu di DUN Simpang Jeram dengan sambutan sangat menggalakkan kepada ceramah PN, termasuk sokongan daripada pengundi teras dan ahli UMNO yang kita temui akan mengundi Dr Mohd Nazri Yahya (calon PN bagi DUN Simpang Jeram).

“Insya-Allah, PN akan dapat merampas balik DUN Simpang Jeram daripada PH kerana PAS pernah menguasai DUN itu pada PRU 2008 dan 2012, ditambah pula dengan gelombang rakyat dari utara dan Pantai Timur yang mula sampai ke Johor.

“Pengundi Melayu Islam, insya-Allah saya lihat akan bersatu mengundi calon PN tidak kira mereka daripada parti PAS, BERSATU mahupun UMNO serta pengundi atas pagar,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pimpinan BN dan PH yang menegaskan Johor sukar ditembusi PN kerana kekuatan kerjasama dua gabungan itu.

Antaranya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohammed yang menyifatkan gelombang PN bakal melanda Johor bagai ‘bermimpi di siang hari’, dengan mendakwa PN tiada kekuatan di negeri itu.

Sementara itu Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata keputusan pucuk pimpinan BN bekerjasama dengan seteru lama, iaitu PH, mengundang kekeliruan akar umbi termasuk dalam kalangan penyokong gabungan itu.

Beliau berkata, kedua-dua pemimpin sama ada daripada PH atau BN sebelum ini bertubi-tubi ‘menghasut’ dan menjaja cerita kepada akar umbi dan penyokong untuk saling membenci tetapi sekarang tiba-tiba menjadi ‘kawan baik.’

“Di DUN Simpang Jeram, kami cukup yakin akan memenangi kerusi itu kerana majoriti hanya lebih 2,000 undi. Harus dilihat pada waktu itu pertembungan tiga penjuru antara PN, PH dan BN.

“Ketika itu juga, kita semua berkempen bahawa PH itu DAP. UMNO pun kempen PH itu DAP. PH pula berkempen UMNO kleptokrasi, rasuah dan terbabit kes mahkamah. Namun apabila semua membentuk kerajaan selepas PRU15, masyarakat di bawah menjadi pening kerana musuh yang dimomokkan oleh pemimpin mereka sebelum itu tiba-tiba menjadi ‘kawan baik.’

“Pemimpin BN dan PH ketika pilihan raya cakap A tetapi selepas pilihan raya jadi B. Masyarakat menjadi keliru.

“Jadi, di situ timbul ketidakpuasan hati pengundi UMNO terhadap pucuk pimpinan mereka. Ini menunjukkan sindrom penafian PH-BN memang sangat hebat dan dahsyat. Sebetulnya, pucuk pimpinan BN yang bermasalah,” dakwanya.

  • BH