• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PRN: 90 peratus keluar mengundi, PN tawan Selangor

Jul 28, 2023
Spread the love

PETALING JAYA: PERIKATAN NASIONAL (PN) yakin bakal menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 menjelang 12 Ogos ini sekiranya 90 peratus pengundi di negeri itu keluar mengundi.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jangkaan itu adalah merujuk kepada sebahagian besar pengundi di negeri itu adalah orang Melayu.

Namun beliau menegaskan ia tidak pula bermaksud undi bangsa Melayu dan India tidak penting buat PN, tetapi memandangkan sebahagian besar populasi di Selangor terdiri daripada orang Melayu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, di sini pada malam tadi Rabu (26 Jul).

Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan bahawa satu majlis tindakan ekonomi dan pemulihan ekonomi negeri perlu diwujudkan secepat mungkin jika PN membentuk Kerajaan Selangor selepas PRN 2023.

“Menteri Besar dan ahli Exco yang dilantik juga perlu mengambil langkah segera untuk melihat permasalahan rakyat termasuk mengatasi isu miskin tegar,” katanya.

Pada PRN 2023 kelak, PN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang menyaksikan Bersatu meletakkan seramai 31 calon, sementara PS sebanyak 17 kerusi, manakala Gerakan lapan kerusi.

Ribuan penyokong PERIKATAN NASIONAL yang hadir membanjiri lokasi Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan, Petaling Jaya.
Antara kerusi ‘panas’ merujuk kepada nama-nama calon yang bertanding atas tiket PN pada PRN kali ini termasuklah di DUN Hulu Kelang yang mencalonkan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Selangor yang juga bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan DUN Sijangkang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Hairi kembali dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Turut ‘panas’ ialah kerusi DUN Sementa yang kali ini mencalonkan Yang Dipertua Pas Kawasan Kapar merangkap Ahli Majlis Perbandaran Klang dan juga Pegawai Dasar Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ustaz Noor Najhan Mohamad Salleh; kerusi DUN Batu Tiga dengan calonnya ialah bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Sementara kerusi DUN Pelabuhan Klang menyaksikan pencalonan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan; dan kerusi DUN Semenyih dengan calonnya ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz.

Sementara kerusi DUN Dengkil menyaksikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh sebagai calon; manakala bagi kerusi DUN Permatang pula, calon bertanding yang diumumkan ialah Nurul Syazwani Noh yang merupakan anak kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.