• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PRN: Ahmad Maslan ajak pengundi UMNO pangkah DAP

May 19, 2023
Spread the love

SHAH ALAM: Pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana meskipun calon yang bertanding daripada DAP, namun ia mewakili gabungan kerajaan perpaduan dan harus diterima susulan perubahan politik ketika ini.

“Bila sudah berada dalam kerajaan perpaduan maka kita hendaklah ikut disiplin parti memastikan arahan parti dituruti. Memang undi rahsia, tetapi gesaan saya bukan atas nama DAP, tetapi atas nama kerajaan perpaduan, titah Yang di-Pertuan Agong, apabila negara tergantung, kita perlu akur dan setia pada titah sentimen-sentimen yang ada.

“Kita hendaklah tinggalkan sentimen peribadi kerana dinamik politik hebat, apa yang berlaku sudah berlaku, ia adalah kerana kestabilan,” kata beliau selepas merasmikan Loji Kabel Federal Power Sdn Bhd, di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian mengenai pengundi UMNO yang mungkin keliru untuk mengundi calon DAP pada PRN ini. Ini kerana selama ini DAP dan UMNO adalah seteru politik tegar.

Mengulas lanjut, Ahmad turut berharap agar konvensyen perpaduan di peringkat negeri dapat diawalkan bagi memupuk kefahaman dalam kalangan rakyat tentang gabungan kerajaan perpaduan.

“Tidak pernah kita memiliki kerajaan yang ada banyak parti tetapi seia sekata, warna putih simbol kesucian untuk rakyat, bukan untuk peribadi, bukan untuk sesiapa. Pelabur masuk, negara maju, pulangan kembali kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN