BALING: Ketua Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan pihaknya yakin gelombang rakyat menyokong PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 masih kekal malah semakin bertambah.
Menurutnya, keyakinan rakyat kepada PN bertambah kuat apatah lagi dengan prestasi kerajaan persekutuan PH-BN yang sangat mendukacitakan.
“Dahulu mereka (rakyat) tak tahu. Sekarang rakyat dah tahu apabila prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan PH-BN ini sangat mendukacitakan,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah pada sidang media di Kampung Sadek, hari ini.
Sebelum itu, beliau menyerahkan kunci kepada 12 keluarga yang kehilangan kediaman akibat aliran puing, Gunung Inas, Jun tahun lalu. (Foto atas)
Justeru itu, kata beliau semangat untuk PN menang di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) juga semakin bertambah.
“Semua parti bersiap untuk menang. Kalau tak menang cuba lagi. Walau bagaimanapun politik sekarang berbeza sikit.
“Setiap hari ada pergerakan yang perlu diawasi dan perlu peka. Makan sekalipun ada orang susah hati, macam-macam,” tambahnya.
Berhubung kes yang dikaitkan Dato’ Seri Hamzah Zainudin, beliau enggan memberi sebarang komen.
Katanya, beliau tidak akan bercakap berkenaan hal yang tidak tahu apatah lagi kes berkaitan Ahli Parlimen Larut itu juga tidak diketahuinya.
“Perkara saya tidak tahu, saya tak akan bercakap. Tapi kalau saya tau, saya komen sampai cerah (habis).
“Lagipun tak boleh bercakap semua benda, nanti silap. Contohnya buat cerita nak tunjuk hero, bila hero sebenar mai (datang), tungging,” ujarnya lagi.
Namun ujarnya, ramai yang mengamalkan sikap sedemikian iaitu bercakap seolah-olah tahu dalam semua hal.
Dalam pada itu beliau juga enggan mengulas apabila ditanya pemberita berkenaan rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang difahamkan belum menemui jalan penyelesaian.
“Itu masalah rumahtangga depa, depa selesailah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY