• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PRN: Isu nasional faktor utama rakyat bakal tolak kerajaan Anwar

Jul 5, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 5 JULAI 2023 – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menentukan hayat kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana menurut penganalisis politik, Mohamad Shafiq Abdul Halim, isu-isu nasional akan menjadi ‘senjata’ pihak lawan di mana perkara tersebut menjadi sensitiviti dalam kalangan rakyat yang kini terhimpit dengan bebanan kos sara hidup khususnya.

“PH memperoleh sokongan yang tinggi semasa PRU15 kerana sentimen kos sara hidup, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit dan peluang pekerjaan yang membuatkan rakyat tertarik dengan 10 teras tawaran Kita Boleh!

“Namun selepas menjadi kerajaan, perbualan masyarakat menunjukkan sikap dan pola pemikiran mereka sudah berubah di mana mereka melihat PH hanya sekadar menjanjikan bulan dan bintang akan tetapi gagal serta tidak serius dalam mengotakan janji-janji tersebut. Tambahan pula golongan yang dilabelkan sebagai “hoi hoi ya hoi” kini menjadi rakan akrab mereka dan diberi jawatan tertinggi dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Shafiq, segala perkara itu sudah pasti menjadi penilaian terhadap Kerajaan Perpaduan yang dilihat tidak menjadi pilihan masyarakat hari ini.

Pada PRN kali ini pula, tambahnya lagi, defisit kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan akan bertambah meleset untuk mempercayai tawaran baharu yang dibuat PH-BN kali ini.

“Keadaan ini akan menyebabkan sokongan rakyat mungkin berubah dan memberi kesan kepada Kerajaan Pusat.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat memilih bukan berdasarkan kesetiaan kepada parti semata-mata namun rakyat menilai dari pelbagai sudut. Tambahan pula kerajaan pada hari ini tidak mempunyai dasar, polisi dan matlamat yang jelas dalam pentadbiran mereka yang menyebabkan rakyat terhimpit dalam kemelot kemelesetan ekonomi dan ketidakstabilan mata wang ringgit.

“Sebab itu keputusan PRN 6 negeri akan menentukan hayat kerajaan pimpinan Anwar kelak,” ujarnya.