• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

PRN: Kimma tuntut janji UMNO

Apr 4, 2023
Spread the love

JOHOR BAHRU: Kongres Islam Muslim Malaysia (Kimma) berharap UMNO tidak melupakan janjinya untuk memberikan tiga kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, perkara itu telah dijanjikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat bersama parti itu sebelum ini.

Menurutnya, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijanjikan Ahmad Zahid kepada Kimma pada PRN akan datang adalah, masing-masing satu kerusi di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

“Ini janji yang dinyatakan sendiri oleh Presiden UMNO pada mesyuarat yang terdahulu, sebelum ini beliau sudah kotakan janji untuk beri kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kali ini melibatkan kerusi DUN pula.

“Mereka tidak memberikan tempoh masa kepada kita, pastinya mereka akan berbincang terlebih dahulu dengan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan parti gabungan membentuk kerajaan perpaduan soal pembahagian kerusi.

“Kita tidak meletakkan secara spesifik kerusi mana yang dimahukan, itu terpulang kepada mereka untuk putuskan asalkan Kimma dapat kerusi pada PRN di Selangor Kedah dan Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri Program Ihya Ramadan di Masjid Janatul Firdaus, Taman Molek, di sini semalam.

Pada PRU15 lalu, Syed Ibrahim yang juga calon BN di kerusi Parlimen Puchong memperoleh 21,468 undi, tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Yeo Bee Yin yang menerima 57,957.

Pada program itu, Kimma dengan kerjasama Malik Streams Corporation menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf.

Syed Ibrahim berkata, program itu akan diteruskan di beberapa lokasi di seluruh negara dengan memberikan sumbangan kepada 3,000 penerima yang sudah dikenal pasti.

Mengenai PRN, beliau berkata, parti sudah mengenal pasti calon yang berkredibiliti untuk diletakkan bagi memenangi kerusi tersebut dengan calon-calon itu mesti berpendidikan tinggi, berpengalaman dan dalam kalangan anak tempatan mengikut kawasan ditandingi.