Hari ni – sehari selepas hari pengundian PRN Melaka – Team Fastaqim bertolak balik daripada Melaka setelah 12 hari bersama-sama petugas dan pengundi dalam PRN, khasnya di DUN N.21 Duyong. Lima tugasan yang diberikan Bilik Gerakan dijayakan sedaya mungkin, khasnya membuat FB Live, menguruskan FB page rasmi kempen, mereka bentuk poster dan membuat video kempen.
Keputusan pilihanraya – agak menyedihkan tapi undi kepada PN-PAS di DUN ini agak konsisten. Dalam PRU-14 lalu, PAS bertembung dengan calon PH-DAP dan BN-MCA, kedua-duanya berbangsa Cina – ketika itu PAS mendapat 2,938.
Dalam PRN ini selain bertembung dengan pemegang PH-DAP, PN-PAS bertembung juga dengan calon BN-UMNO, Putra dan Bebas – yang ketiga-tiganya adalah Melayu. Dengan pertembungan ini, PN-PAS memperoleh 2,874 undi – berkurang 64 undi.
Jumlah undi PN-PAS ini meyakinkan dengan anggapan pengundi tegar Melayu UMNO menyokong partinya. Sementelah peratusan keluar mengundi yang menjunam. Strategi UMNO yang menurunkan calon Melayu juga mengena apabila merampas DUN ini daripada PH-DAP dengan majoriti 200 undi – gabungan undi Melayu dan Cina dalam BN khasnya.
Saat mengembirakan – kami dapat berukhuwwah dengan team Penerangan Kota Melaka dan pasukan kerja Keluarga Duyong. Semuanya berkerja dalam satu pasukan, menerima dan melaksanakan arahan Bilik Gerakan tanpa persoalan atau bantahan. Moga ukhuwwah kita terus mekar dalam sisi-siri penerangan media selepas ini.
Ibrah 1 – Strategi kempen PRN ini sangat berbeza dengan amalan praktik biasa. Justeru, unit media baharu PAS di semua peringkat perlu bersedia untuk perang maya PRU-15 nanti. Perancangan dan tindakan awal – organisasi (taktikal, produksi, sebaran dan tangkisan), bahan (peralatan, copyrighting, poster, video dan lain-lain) serta medium (Facebook, Tiktok, WhatsApp dan lain-lain) perlu disediakan sejak hari ini dan ditambah baik diperkemas hari demi hari. Pasca 2022, kita pasti berhadapan dengan pengundi muda – segmen yang mesra media baharu.
Ibrah 2 – BN-UMNO menang, antara faktornya kerana mempunyai akar umbi yang kuat. Ahli berdaftar juga ramai di setiap DUN – walaupun ada yang kini telah bersama dengan Bersatu dan lain-lain. Justeru, PAS juga perlu mempunyai akar umbi yang kuat dan ahli yang ramai. Ahli baharu perlu ditambah, cawangan baharu perlu ditubuh. Langkah ini untuk menang dalam jangka panjang, bukan setakat di Melaka tetapi di seluruh Malaysia.
Terima kasih – ditujukan kepada semua pemimpin, petugas, pengundi dan pendokong PN-PAS dalam PRN Melaka ini. Kita sudah melakukan yang terbaik. Kita sentiasa menang insya Allah. Namun, post-mortem perlu diteliti untuk strategi dan gerak kerja selepas ini, khasnya dalam PRU-15 tahun depan.
Secara spesifik, kami Media Fastaqim seramai 10 anggota dan Media Istiqamah seramai 3 anggota mengucapkan tahniah kepada Datuk Pesuruhjaya, semua pimpinan Melaka, sahabat media PAS, warga kerja Bilik Gerakan Keluarga Duyong dan semua yang terlibat.
Sokongan dan penghargaan anda semua tersemat dalam sanubari kami. Juga kepada para yang menyokong – spiritual dan material – kami sangat hargai, hanya mampu kami ucapkan, ‘Jazakumullah Khayra’.
Siiru ‘ala barakatillah.
Media Fastaqim
mediafastaqim.com