PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) meramalkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri menjadi penentu kepada UMNO sama ada kekal atau keluar daripada kerajaan persekutuan.
Ketua Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, UMNO kemungkinan besar membuat keputusan keluar daripada kerajaan jika gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) meraih keputusan buruk dalam PRN ini.
Sebab itu, katanya, PN akan berusaha memberi mesej kepada pengundi UMNO dan BN supaya mengubah pilihan mereka semasa hari mengundi pada 12 Ogos ini.
“PRN ini turning point sama ada UMNO terus kekal dengan DAP dan bersama kerajaan, ataupun kita perlu beri mesej bahawa mereka perlu keluar. Kalau UMNO berasakan tempat mereka dalam kerajaan adalah untuk menghancurkan masa depan UMNO, mereka pun tak mahu hancur, maka mereka akan buat keputusan untuk keluar dari kerajaan.
“Jadi, pola atau keadaan politik akan berubah, sebab itu bagi PN. Ini adalah peluang jentera bekerja bersungguh-sungguh untuk menang di enam negeri dan memberi mesej jelas bahawa perubahan perlu segera dilakukan oleh ahli semua parti khususnya ahli UMNO yang pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kekal undi PN dan beri mesej bahawa UMNO tak boleh berada dalam kerajaan,” katanya dalam Sesi Khas Bersama Sanusi secara maya malam tadi.
Katanya, hanya dengan perubahan oleh UMNO secara en bloc barulah mereka akan menarik diri dan membawa perubahan kepada kerajaan.
“Ini yang penting untuk PN sebenarnya, kalau kita masih menjadi pembangkang di peringkat negeri dan PH kekal di tiga negeri, balik seperti biasa. Saya nampak kerajaan akan berbuat sedaya upaya untuk kerajaan diterima rakyat dan masa depan terhadap apa yang mereka larang sangat iaitu 3R atau Melayu, Islam dan Raja-raja tidak lagi selesa untuk berada di negara ini.
“Jadi penting untuk kita menang PRN untuk serampang dua mata iaitu untuk meruntuhkan kerajaan persekutuan pimpinan anwar dan membawa PN menyelamatkan 3R,” katanya. – UTUSAN