Shah Alam: Perikatan Nasional (PN) Selangor dijangka membariskan lebih 70 peratus calon dari golongan profesional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini.
Menurut sumber parti, calon PN Selangor terdiri dari bekas menteri, bekas profesor institusi pengajian tinggi awam, rektor, jurutera, doktor dan pelbagai lagi.
Selain itu katanya, tiga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor yang pernah menabur bakti sebelum ini akan kembali ke gelanggang PRN-15.
“Insya-Allah, calon PN mewakili 70 peratus profesional dan tiada calon yang berumur melebihi 60 tahun bagi memimpin pasukan pentadbiran Selangor kelak.
“Seorang lagi calon berstatus profesor penuh dari universiti awam, bekas rektor di salah sebuah universiti tempatan malah anak jati Selangor.
“PN akan pertaruhkan calon profesional Melayu yang bergelar doktor perubatan di kerusi tradisi PKR. Berkemungkinan dua pendakwah selebriti juga akan dipertaruhkan di kerusi majoriti Melayu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu katanya, salah seorang calon PN juga seorang jurutera yang berjaya mengemudi projek infrastruktur lebih RM100 juta di negara kita sebelum ini.
Katanya, selain calon dalam kalangan anak muda, PN Selangor turut memberi ruang kepada calon wanita yang mana lebih 20 peratus kerusi bakal ditandingi kaum wanita.
Walaupun pimpinan PN memilih untuk terus ‘kunci mulut’ sehingga hari pengumuman pada 26 Julai depan, khabar angin yang tersebar mendakwa Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi akan terus mempertahankan kerusi Dun Sijangkang bagi penggal keempat. HM