• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Program Genggam Selangor 2.0 PAS Shah Alam rentasi sempadan parti

Apr 10, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 9 APRIL 2023- PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) mengadakan Program Genggam Selangor 2.0 dengan sesi ziarah dan sumbangan Bakul Ramadhan kepada bekas pimpinan, veteran dan ahli pelbagai parti.

Program turun padang yang dianjurkan oleh Jabatan Pilihan Raya PKSA tersebut diketuai sendiri oleh YDP kawasan, Ustaz Mohamed Sukri Omar. Program berlangsung pada jam 3.00 petang di Shah Alam Dakwah Centre, Islamic City Seksyen U12 dengan taklimat oleh Pengarah jabatan, Dr Najmuddin Abdullah.

Ziarah dimulakan dengan doa oleh YDP dan rombongan seramai 18 orang yang dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama ke Seksyen 20, Seksyen 23 dan sekitar yang diketuai oleh beliau sementara pasukan kedua ke Taman Kampung Kuantan diketuai oleh Ustaz Muhammad Amir Yahaya, Timbalan YDP.

Menurut Ustaz Mohamed Sukri, program yang dilaksanakan tersebut sebagai tanda keprihatinan pimpinan dan ahli PKSA terhadap pemimpin setempat pelbagai parti. Walaupun berbeza parti, namun ukhuwah Islam perlu diutamakan terutama ketika berada dalam bulan al-Mubarak ini. “Yang lama perlu dihargai kerana sesungguhnya tidak akan ada yang baharu jika tiada yang lama.” ujarnya lagi.

Sebanyak 15 buah rumah sempat dikunjungi dalam program selama tiga jam tersebut. Kebanyakan veteran yang dikunjungi merupakan bekas pimpinan parti lawan di peringkat bahagian dan cawangan yang berbesar hati menyambut rombongan ziarah. Perbualan lebih kepada pertanyaan khabar kesihatan, keperluan harian dan pengkisahan pengalaman lalu.

Salah seorang yang diziarahi, Puan Noridah daripada Seksyen 20 merasa gembira atas lawatan daripada PKSA. Beliau yang mempunyai enam orang anak bersyukur kerana dapat menjaga suaminya yang sudah terlantar lumpuh sebelah badan sejak lima tahun lalu serta dapat berkerja mencari nafkah menyara anak-anak yang sebahagiannya masih bersekolah.

Semasa ziarah, rombongan turut menghulurkan sedikit sumbangan wang tunai serta Bakul Ramadhan yang mengandungi barangan dapur sebagai tanda ukhuwah dan ingatan PKSA.

Turut serta dalam sesi ziarah tersebut adalah pimpinan kawasan, Ustaz Aubidullah Fahim Ibrahim (Ketua Pemuda), Mohd Fadzlisham Muhammad Noor (Pen. Setiausaha), Noordin Saari Mohd Razali (Ketua Penerangan), Muhammad Hamizan Nadri (Ketua Lajnah Kebajikan), Anas Kamaluddin (Timbalan Lajnah Pendidikan) dan Aineel Zehni Roslan (Timbalan Lajnah). Turut menyertainya pimpinan cawangan Seksyen 20 serta Taman Kampung Kuantan, Dr Mohd Nabil Ibrahim, Abdul Aziz Abdul Rahman dan Wak Saiful.

Untuk rekod, program ziarah kebajikan tersebut adalah antara aktiviti berkala PKSA sejak dahulu, sementelah Selangor akan menghadapi Pilihanraya Negeri dan DUN dijangka dibubarkan penghujung Jun nanti. (Penerangan PKSA)