Oleh: Dr. Nabila Din
‘PENGEMBALA Kambing dan Serigala’ adalah kisah rakyat yang sangat popular. Pengajarannya, kita jangan mempermainkan kepercayaan seseorang, kelak nanti tidak dipercayai oleh orang ramai. Namun, dalam politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, kisah tersebut belum dihadam kerana propaganda untuk ke Putrajaya adalah segalanya.
Inilah ciri catatan Garth S. Jowett dan Victoria O’Donnell dalam buku ‘Propaganda and Persuasion’ tentang propaganda sebagai ‘percubaan yang disengajakan dan sistematik untuk membentuk persepsi, memanipulasi kognitif dan tingkah laku untuk mencapai tujuan yang diinginkan oleh si propaganda.’ Cerita propaganda politik – akan menjadi Perdana Menteri umpamanya – akan ditiupkan sentiasa supaya persepsi itu wujud dalam sanubari rakyat, lantas mendorong berahi ahli-ahli parlimen untuk bersama-samanya membentuk kerajaan.
Begitulah aksi propaganda politik terbaharu yang dilakukan oleh Anwar. Kali ini lebih dahsyat kerana melibatkan pihak istana. Pada tanggal 13 Oktober 2020, beliau telah diperkenankan untuk diterima mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDA) di Istana Negara pada jam 11.00 pagi. Anwar sebelum itu telah mewar-warkan akan mempersembahkan ‘documentation of strong and convincing’ tentang majoriti Ahli Parlimen (MP) di Dewan Rakyat yang menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.
Hal ini susulan dakwaan Anwar pada 23 September 2020 bahawa beliau mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan (klausa yang diulang-ulang) untuk dipersembahkan kepada YDA tentang perkara tersebut. Malah, majoriti sokongan tersebut datangnya daripada MP Melayu dan Islam – sekali lagi propaganda politik – untuk menyejukkan keresahan rakyat tentang kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa didominasi oleh cauvinis Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Hampir tiga jam kemudian, Anwar muncul dalam sidang media di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur memaklumkan telah berjaya mempersembahkan dokumen sahih kepada YDA. Dokumen tersebut berupa akuan sumpah serta pengesahan ketua-ketua parti bahawa lebih 120 MP menyokong beliau. Malah, Anwar sekali lagi – seperti sidang media sebelumnya – mendakwa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘sudah jatuh’ dengan sokongan berdokumen sahih tersebut.
Namun, langit tak selalunya cerah. Jejak Anwar tersandung di pintu istana beberapa minit kemudian. Kenyataan media pihak Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja kemudiannya telah menjelaskan apa yang berlaku dalam pertemuan 25 minit tersebut. Rupa-rupanya Anwar langsung tidak mengemukakan senarai nama MP untuk mengukuhkan dakwaan beliau tersebut, seperti yang ‘diributkan’ sebelum ini.
Kenyataan media ini ternyata menyanggah propaganda Anwar yang seolah-olah ‘menjaja’ memiliki senarai dan dokumen kukuh daripada MP untuk mengesahkan dakwaannya – langkah mirip politik ugut dan menarik sokongan MP lain. Hakikatnya ini hanya sekadar publisiti murahan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut apabila ramai MP Umno menafikannya, malah ada yang membuat laporan polis menolak penglibatan sokongan mereka.
Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri kerajaan PH turut menafikan beliau memberi sokongan kepada mana-mana individu termasuklah Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini kerana parti pimpinannya, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang mempunyai lima MP adalah bebas dan tiada kaitan dengan sesiapa atau mana-mana entiti parti yang bercita-cita mendapat sesuatu jawatan.
Hal ini menyebabkan YDA sendiri, ketika diterima mengadap, menasihati Anwar supaya akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk rekod, Perkara 43 (4) perlembagaan menyebutkan bahawa jika ‘Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong’.
Anwar tidaklah perlu merendah dan menjadikan YDA sebagai ‘pegawai penyiasat’ untuk menyoal-jawab setiap MP tentang sokongan mereka. Malah, beliau seolah-olah engkar dengan titah YDA ketika pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020 supaya negara tidak diheret sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, ketika rakyat masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19.
Justeru, jalan terbaik bagi Anwar adalah mendapatkan pengesahan Dewan Rakyat bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti MP sebagai Perdana Menteri. Kegagalan Anwar menyenaraikan nama MP tersebut, sama ada dalam sidang media atau di hadapan YDA, menunjukkan secara jelas bahawa beliau tidak mempunyai sebarang majoriti, sebaliknya hanyalah pengisytiharkan kosong bahawa kerajaan PN tumbang.
Sehingga saat ini, dakwaan Anwar hanyalah sekadar dakwaan propaganda aka sandiwara wayang politik. Ini tidak pelik kerana sejarah telah mencatatkan Anwarlah yang membuat propaganda palsu mendakwa beliau memiliki majoriti MP, dakwaan berminggu-minggu sebelum tibanya 16 September 2008. Tarikh tersebut dihebohkan untuk membentuk kerajaan baharu dengan beliau sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Propaganda itulah menyebabkan rakyat dalam kegelisahan, langkah yang turut ‘melarikan’ sekumpulan MP kerajaan ketika itu ke Taiwan kononnya untuk meninjau industri pertanian di sana sebelum tarikh tersebut. Itu belum dikira propaganda penyokong-penyokong beliau tentang racun arsenik dan suntikan virus HIV ketika berada di tabir jeriji penjara Sungai Buloh.
Politik ‘gila kuasa’ sebegini agak sebati dengan anak desa Ceruk Tok Kun ini. Bagi Parti Islam Semalaysia (PAS), pimpinan atau ahlinya sudah mangli dengan gelagat Anwar. Beliau diramal pengkaji politik akan menyertai PAS setelah lama bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), namun ‘ijtihadnya’ adalah memasuki Umno sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-6 pada 22 April 1982. PRU tersebut adalah pilihanraya pertama Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan lawan bagi Anwar di kerusi tradisi PAS, Permatang Pauh adalah calon PAS sendiri.
Begitu juga akar umbi PAS tidak akan lupa dengan ucapan sulung Anwar selepas bebas daripada penjara dengan pengampunan, bahawa beliau akan menawan Kelantan dan Terengganu yang baharu dikuasai parti itu. Ini pantas diucapkan beliau walaupun PAS adalah parti yang banyak menangkis serangan tuduhan liwat ke atasnya hingga Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri menulis buku berkaitan qazaf membelanya.
Bukan setakat ahli PAS, malah rakan-rakan lamanya termasuk dalam politik dan ABIM dulu turut menjauhkan diri daripada beliau. Tanyalah di mana kini rakan-rakan pengkagum ‘Pak Sheikh’ semasa di ABIM atau semasa mendirikan sekolah Yayasan Anda. Datuk Dr. Sidek bin Baba, Datuk Kamarudin Md Nor dan Datuk Kamaruddin Jaffar antara nama-nama besar yang kini tidak lagi sehaluan dengan Anwar. Setidak-tidaknya inilah impak propaganda beliau sejak lama untuk mendaki kuasa.
Nafsu Anwar memang besar, sebesar temboloknya untuk diisi. Namun, ikutlah peraturan dan adab susila. Ikutlah nasihat raja kita, payung negara. Pintu Putrajaya sentiasa terbuka bagi mereka yang mengikut perlembagaan. Usahlah bermain dengan propaganda dan sandiwara, kelak anda akan rebah lalu menghakis baki kepercayaan manusia. Bacalah ibrah cerita ‘Pengembala Kambing dan Serigala’.