• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Puad dedah Pemimpin Tertinggi UMNO Johor bakal sertai PN

Jun 14, 2023
Spread the love

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, memberi bayangan seorang pemimpin Umno yang juga nama besar daripada selatan dijangka bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Malah, Mohd Puad berkata, Umno juga sudah mengetahui siapa di kalangan bekas pemimpin Umno termasuk di kalangan panglima perang (warlord) parti itu yang akan ‘dikutip’ Perikatan Nasional (PN).

“Sebenarnya kita sudah tahu siapa orang (bekas pemimpin Umno) yang bakal ‘dikutip’ itu.

Seorang darinya bukan bertaraf panglima pun tetapi ‘pendikar mustar’ dari Selatan. Cuma berani di belakang,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook.

Namun dalam hantaran itu, Mohd Puad tidak menamakan pemimpin Umno berkenaan.

Baru-baru ini, Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkongsikan gambar duduk semeja bersama bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Pertemuan itu dikongsikan Hishammuddin menerusi hantaran di Facebooknya mengundang tanda tanya ramai.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, semua kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu ‘dipercayai’.

“Menurut Hamzah Zainuddin 10 ‘panglima perang’ termasuk nama besar yang tersisih daripada Umno akan menyertai PN

“Kalau Hamzah yang cakap kita percaya. Dia ada rekod ‘pusingkan’ orang. Seorang ADUN DAP Perak pun boleh pusing,” katanya.

Semalam media melaporkan, PN akan mengumumkan senarai nama 10 ‘panglima perang’ atau ‘warlord’ Umno yang disisihkan untuk menyertai parti dalam gabungan itu dalam masa terdekat.

Hamzah berkata, nama-nama itu akan didedahkan pada program bersesuaian dan ketika ini barisan kepimpinan PN sedang memuktamadkan urusan berkenaan.