• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Putrajaya bawah Muhyiddin Kerajaan Perpaduan sebenar – Noh Omar

Jun 24, 2023
Spread the love

SHAH ALAM, 24 JUN 2023 – Tan Sri Noh Omar menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebenar adalah ketika zaman pentadbiran Putrajaya diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang ketika itu berkhidmat sebagai menteri di bawah Kabinet Muhyiddin berkata, ini kerana kerajaan Pusat pada masa itu dianggotai pelbagai parti politik.

Mengimbau situasi dalam kerajaan ketika itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata muafakat dan semangat ditonjolkan sangat baik meskipun parti menganggotai kerajaan sebenarnya perlu bersaing sewaktu pilihan raya.

“…..saya percaya dan yakin Kerajaan Perpaduan waktu Muhyididn paling berjaya. Ketika itu, kita (Barisan Nasional dan UMNO) bersama Perikatan Nasional (PN).

“Saya masih ingat di peringkat Pusat, saya pun menteri (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) pun menteri, (Datuk Seri) Saifuddin (Abdullah) juga menteri.

“Bayangkan apabila sampai pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, pada Rabu kami hadir mesyuarat Kabinet. Setiap minggu mesyuarat Kabinet, saya dengan Timbalan Presiden BERSATU, Naib Presiden PAS (dalam jemaah menteri).

“Habis saja mesyuarat Kabinet, kita tunggu sebelah malam nanti kita (mula) berperang,” katanya ketika ceramah perdana Jelajah Selangor Baharu : Kita Bangkit anjuran PN Selangor di perkarangan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini malam ini.

Dalam ceramah itu, Noh sempat berkongsi perasaannya susulan tindakan parti lamanya yang sanggup, bahkan terdesak bekerjasama dengan musuh BN selama ini, iaitu Pakatan Harapan (PH).

Lebih mengecewakan, katanya tindakan BN yang diibaratkan menjadi penumpang dalam Kerajaan Perpaduan.

“Hari ini saya pelik dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, di Selangor sebagai bekas pengerusi BN, saya kecewa dengan (nasib) beberapa kerusi UMNO pada PRN akan datang.

“Kalau UMNO jadi penumpang, mana kehebatan BN? Justeru, hari ini PN mesti bangkit menggantikan BN. Saya percaya dengan semangat PN. Insya-Allah kerjasama ditonjolkan ini, PN akan menang PRN akan datang.

“Hari ini apabila BERSATU bersama, saya yakin PN lebih kuat daripada dulu. Insya-Allah saya terus bersama PN dan terus memberikan sokongan (kepada PN). Matlamat saya senang sahaja iaitu nak Selangor baharu yang dipimpin PN jadi kenyataan,” katanya.