• Fri. Mar 21st, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Rafizi tak boleh ditegur?” Puad tak puas hati ditegur SUA UMNO

Jun 3, 2023
Spread the love

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mempertahankan pendiriannya mengkritik prestasi Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi, susulan tindakannya itu yang disifatkan sebagai “tembak kaki sendiri” dalam kerajaan perpaduan.

“Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

“Apakah mendesak menteri supaya “perform” dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur? Kalau dia luar biasa, kerajaan perpaduan tambah kukuh,” katanya di Facebook.

Puad berkata, istilah “menembak kaki sendiri” hanya boleh digunakan pada pihak yang takut bersuara serta membiarkan kepincangan menteri terus berlaku.

“Apa maksud tembak kaki sendiri? Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

“Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak perform, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu melemahkan kerajaan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Puad supaya tidak menyerang parti atau pemimpin lain dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, Umno terikat dengan tanggungjawab secara kolektif kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Gesaan itu dibuat selepas Puad mengkritik prestasi Rafizi sebagai menteri ekonomi dan mempersoalkan kurangnya dasar untuk memulihkan semula ekonomi.