Jangan tambah beban rakyat dengan naikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR), sekarang pun ramai yang dah tersiksa dan terhimpit akibat kenaikan berterusan.
Bayangkan kalau sebelum ini ada yang membuat bayaran rumah RM970, namun akibat kenaikan kini sudah menjadi RM1,400, bayangkan kalau ia meningkat lagi.
Kenaikan OPR bukan sahaja menambah bebanan peminjam, malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.
Oleh kerana hutang isi rumah berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kini pada paras hampir 90 peratus berbanding Singapura (69.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina 9.9 peratus), setiap tingkat kenaikan OPR akan lebih membebankan peminjam.
Ia akan membebankan peminjam di Malaysia berbanding negara serantau. Dari segi teori, alasan kenapa OPR dinaikkan adalah untuk menurunkan kadar inflasi dengan cara memperlahankan aktiviti ekonomi, iaitu mencetuskan ‘mild recession’.
Dengan menaikkan OPR, sebagaimana teori monetari konvensional, BNM berharap sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan di samping meningkatkan kadar simpanan.
Bagaimanapun, dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman, bukan menerusi peningkatan kadar tabungan.