RATU Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun pada Khamis, menurut kenyataan rasmi Istana Buckingham.
Berita kemangkatan Ratu Elizabeth membawa kedukaan kepada seluruh rakyat jelata.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan anggota kerabat diraja bergegas untuk berada di sisi Ratu Elizabeth II selepas pasukan perubatan bimbang keadaan kesihatan ratu berusia 96 tahun yang dinasihatkan kekal di bawah pemantauan perubatan.
Dilaporkan, Putera Charles bersama isterinya, Camilla, dan adik perempuannya, Puteri Anne, berada bersama ratu di Istana Balmoral, kediaman musim panasnya di Scotland.
Ahli keluarga diraja yang lain, termasuk anak lelaki Charles, Putera William dan Harry, juga dilaporkan sudah mendarat di Scotland.
Pada usia 96 tahun, Ratu Elizabeth merupakan monarki Britain yang paling lama bertakhta.
Ratu Elizabeth, raja paling lama memerintah Britain dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’ sejak hujung tahun lalu.
Baginda yang juga raja tertua dunia menaiki takhta pada tahun 1952.
Dengan kemangkatan baginda, Putera Charles yang memegang gelaran Putera Wales menjadi pewaris takhta diraja Britain. — Agensi