• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Rekod baru jika anak bulan kelihatan Khamis ini

Apr 15, 2023
Spread the love

Jabatan Mufti Pulau Pinang menjangkakan anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Syawal dapat dilihat Khamis ini, dengan bantuan alat cerapan, kemahiran pencerap dan cuaca yang baik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jika itu berlaku, ia akan menjadi rekod baharu penampakan anak bulan di negara ini.

“Rekod penampakan hilal (bulan baharu) terbaik pernah direkodkan di Pusat Falak Sheikh Tahir setakat ini adalah hilal Rabiulawal 1444 Hijrah pada ketinggian lima darjah 44 minit dan jarak lengkung enam darjah enam minit.

“Namun sekiranya ketika cerapan pada petang Khamis ini hilal boleh kelihatan pada ketinggian dua darjah 12 minit dan jarak lengkung dua darjah 39 minit sahaja, satu rekod baharu akan dicatat,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul persoalan sama ada 1 Syawal jatuh pada Jumaat atau Sabtu, namun Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) memaklumkan pengisytiharan tarikh 1 Syawal setiap tahun bagi Malaysia dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan di 29 lokasi cerapan rasmi.

Ia dibuat selepas mendapat mandat Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja.

Bagi Pulau Pinang, Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh, adalah lokasi tunggal yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja untuk melihat anak bulan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Wan Salim berkata, anak bulan mungkin sukar kelihatan ketika cerapan namun tidak mustahil berikutan bulan baharu sudah berada di atas ufuk.

Dengan fenomena Gerhana Matahari Separa pada tengah hari cerapan itu yang disusuli dengan penghubung, fasa bulan baharu pun bermula sejurus kemudian.

“Namun, data bulan sewaktu cerapan menunjukkan bulan belum memenuhi kedua-dua syarat kebolehnampakan yang ditetapkan walaupun fasa bulan baharu sudah bermula,” katanya.

Menerusi kaedah rukyah dan hisab, katanya, walaupun data hitungan menunjukkan keadaan sedemikian, keputusan cerapan tetap diambil kira sebagaimana yang berlaku ketika penentuan Syawal 1443H.

Sebaliknya, Wan Salim menjelaskan, data hitungan anak bulan yang memenuhi syarat tetap diambil kira walaupun anak bulan gagal dilihat ketika cerapan.

“Kedua-dua kaedah ini saling melengkapi dan mengimbangi antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Islam perlu bersabar dan berlapang dada bagi memahami serta mengikuti proses penetapan hukum bagi tarikh 1 Syawal sehingga selesai.

Katanya, ketidaktentuan 1 Syawal tidak wajar menjejaskan tumpuan terhadap ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Ia termasuk ibadat khusus ketika fenomena Gerhana Matahari Separa yang kebetulan berlaku pada tarikh melihat anak bulan Syawal,” katanya. BH