• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Remaja 13 tahun terjun pangsapuri selepas dimarah ibu main telefon

Jan 30, 2023
Spread the love

PETALING JAYA – Seorang remaja perempuan berumur 13 tahun ditemui maut selepas terjatuh dari tingkap dapur rumah di tingkat enam sebuah pangsapuri di kawasan Puchong Utama, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menjumpai beberapa nota tulisan tangan dipercayai milik mangsa yang menunjukan ingin membunuh diri akibat tertekan dengan layanan keluarga terhadapnya.

“Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, telah menerima panggilan telefon dari orang awam pada pukul 11.21 malam semalam mengenai kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah, mangsa telah terjatuh dari tingkap dapur rumah dan telah meninggal di tempat kejadian.

“Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu dikatakan telah dimarahi ibunya kerana bermain telefon bimbit tanpa kebenaran dan sering keluar malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, kes kematian dijalankan di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) oleh Ketua Polis Balai Bukit Puchong, Inspektor Elias Lamuie.

Ujarnya lagi, bedah siasat dijangka akan dijalankan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Serdang pada hari ini setelah lawatan dan pemeriksaan tempat kejadian oleh patologi forensik.

“Orang ramai yang melihat kejadian boleh tampil salurkan maklumat melalui no telefon 03-78627100 (pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) dan segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE