• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ringgit terus terjunam hari ini

May 30, 2023
Spread the love

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pagi Selasa menjelang keputusan mengenai siling hutang AS.

Pada 9.09 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.6040/6080 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada paras 4.6030/6060.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau menjangkakan gandingan dolar AS/ringgit didagangkan dalam julat sempit hari ini pada sekitar RM4.60.

Beliau menambah, risiko kelewatan dalam membuat keputusan mengenai siling hutang AS boleh menyebabkan pasaran mata wang kekal berhati-hati, sekali gus menjurus kepada permintaan yang berterusan untuk mata wang selamat seperti dolar AS.

“Jadi semua mata akan tertumpu pada Capitol Hill memandangkan tarikh akhir 5 Jun semakin hampir,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menyusut nilai untuk mencatatkan paras 3.2862/2893 berbanding yen Jepun daripada 3.2820/2844 pada penutup Isnin, merosot berbanding euro kepada 4.9341/9384 daripada 4.9330/9363, dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6928/6978 daripada 5.6829/6866 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN pula, ringgit turut diniagakan kebanyakannya rendah.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.2829/2995 daripada 13.2316/2463 dan susut berbanding dolar Singapura menjadi 3.4041/4075 daripada 3.4016/4043 pada Isnin.

Mata wang tempatan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 307.4/307.9 daripada 307.3/307.7 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.20/8.21. BH