• Sun. Jan 26th, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Rumah Kaseh santuni Rakan Jalanan Port Klang secara Rohani dan Jasmani

Jan 17, 2022
Spread the love

SHAH ALAM, 17 JANUARI 2021 – Susuk individu yang sedang lena di hentian bas, kaki lima mahupun di mana-mana bangku di hadapan deretan premis perniagaan seringkali menyapa pandangan sesiapa sahaja yang berjalan di sekitar bandar Pelabuhan Klang.

Entah di mana silapnya, malah bukan sedikit bantuan dan sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak, ia masih belum berjaya membantu kumpulan bergelandangan ini keluar daripada masalah yang membelenggu mereka.

Ketika orang ramai bercuti sempena hujung minggu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif menyantuni gelandangan di Bangunan MPK, Hentian Bas Pelabuhan Klang bermula petang semalam.

Bukan saja memberikan pek makanan segera KFC, pengisian rohani seperti tazkirah dan solat berjemaah dilaksanakan bersama hampir 50 gelandangan di sana.

Menurut Pengerusi Rumah KASEH Encik Izam berkata golongan gelandangan sebenarnya haruslah didekati dan diberi motivasi serta pengisian kerohanian supaya mereka bersabar menghadapi dugaan dan mahu berubah.

“Isu ‘Rakan Jalanan’ ini bukan setakat di Pelabuhan Klang tapi di bandar-bandar lain juga ada. Masyarakat juga perlu ada rasa simpati. Masalah ini takkan selesai dalam masa yang singkat. Jadi, usaha perlulah berterusan,” tegas Encik Izam.