• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Saman fitnah: Khalid Samad gagal dapat kebenaran merayu

Oct 17, 2022
Spread the love

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad gagal memperoleh kebenaran bagi meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan ganti rugi berjumlah RM80,000 yang diberikan kepadanya dalam satu saman fitnah.

Khalid telah menyaman bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa yang didakwa memfitnahnya berhubung isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pada 17 Julai 2019, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang memihak kepada Khalid dan memerintahkan Mahamad Naser membayar ganti rugi itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 28 Jan lepas membenarkan rayuan Mahamad Naser untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebabkan Khalid memfailkan permohonan bagi memperoleh kebenaran membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan beliau didengar oleh panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Dalam penghakimannya, Rohana yang mengetuai panel itu berkata, mahkamah telah menimbang semua hujah yang dikemukakan dan mendapati permohonan Khalid tidak memenuhi syarat untuk diberikan kebenaran meneruskan rayuan.

Justeru, beliau menolak permohonan itu dan mengarahkan Khalid membayar kos sebanyak RM30,000.

Pada Disember 2017, Khalid menyaman Mahamad Naser selepas mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 28 Sept 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser di dalam ceramah bertajuk `Wacana isu semasa dan perundangan peringkat negeri Selangor: Doktrin: Cabaran dan Perlembagaan’, telah membuat pernyataan antaranya menggambarkan plaintif menentang sekeras-kerasnya RUU 355, menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hudud dan menentang usaha memperkasa Mahkamah Syariah.

Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail dalam penghakimannya memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi mendapati tiada keterangan yang menunjukkan Khalid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau menentang RUU355.

Khalid diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala Datuk Hasnal Rezua Merican mewakili Mahamad Naser. – BERNAMA