• Sun. Feb 25th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Sambut baik jika KJ bersama PN – Sanusi

Feb 7, 2023
Spread the love

.

Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyambut baik khabar angin penghijrahan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ke Perikatan Nasional (PN) selepas dipecat daripada UMNO.

Katanya, ura-ura berkenaan diharap menjadi kenyataan kerana PN sentiasa mengalu-alukan pemimpin berkualiti dan hebat daripada UMNO.

Menurut beliau, penyertaan figura politik itu juga akan memberikan kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tahun ini.

“Saya harap ia menjadi kenyataan, orang baik mai (datang), orang tidak bagus pergi berhimpun belah sana (PH),” katanya ketika ditemui di Majlis penyerahan surat hak milik, lesen menduduki sementara, hak milik sambungan dan cukai tanah di Dewan Cenderawasih di sini pada Selasa.

Tambahnya yang juga Menteri Besar Kedah, PN juga sentiasa membuka ruang untuk mana-mana individu yang dipecat atau digantung UMNO untuk menyertai parti itu sekiranya mereka berminat.

“Yang dibuang dari UMNO orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat, KJ (Khairy) siapa kata tak hebat, siapa kata (Tan Sri) Annuar Musa, (Tan Sri) Noh Omar, (Datuk Seri) Shahidan Kassim, (Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) tidak hebat, semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, Khairy dilaporkan menyatakan minat untuk bertanding dalam PRN Selangor.

Menurutnya, beberapa tawaran telah dibuat kepadanya, termasuklah jawatan Menteri Besar sekiranya menang.