• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

‘Saya tak kalah, hampir RM300 juta nilaian harta pendeposit TH berjaya diselamatkan’

Aug 31, 2023
Spread the love

Penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abdul Rani yang menarik balik rayuan berhubung saman fitnah terhadap Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana dapat menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit Tabung Haji (TH).

Justeru,Ahmad Dusuki menafikan kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada Isnin lalu.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu menerusi kenyataan ringkas di Facebook berkata, beliau sebaliknya berjaya menyelamatkan tanah ladang dan harta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai ratusan juta ringgit.

“Saya kalah? Tak, saya berjaya menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit TH.

“Ia dibayar sebagai deposit oleh syarikat Tamaco Sdn Bhd yang dijual ketika pentadbiran Pakatan Harapan, tetapi dibatalkan di era Perikatan Nasional,” katanya, hari ini.

BH semalam, melaporkan Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menyifatkan episod fitnah berhubung aset TH dijual kepada orang bukan Islam, kini berakhir.

Ia susulan tindakan Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Isnin lalu.

Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000.