• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Saya tidak didakwa atas kesalahan terima rasuah” – Muhyiddin

Mar 10, 2023
Spread the love

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan siasatan yang dilakukan ke atasnya mendapati tidak ada satu sen wang rakyat masuk ke poketnya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.https://ad605020098ece712480404cfdce5efe.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pertuduhan ke atasnya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata beliau tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah.

“Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

“Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, oleh kerana tidak menerima rasuah, pihak tertentu mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa wujud kluster mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin PN.

“Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri. Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri.

“Saya dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek JanaWibawa.

“Saya nafikan tuduhan ini. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek ini. Kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah,” ujarnya lagi.

Muhyiddin berkata, selain itu, beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Beliau menafikan dakwaan tersebut berikutan kelulusan rayuan pengecualian cukai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya.

“Semalam, sebelum keterangan saya diambil berhubung dakwaan saya menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa saya.

“Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?,” soalnya.

Dalam masa sama, Muhyiddin berkata keputusan pendakwaan beliau telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka. Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. ‘It is an organized political persecution’,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan haram selepas Datuk Seri Najib Razak.