• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Sebenarnya PH hanya dapat 7 peratus undi Melayu bukan 31 peratus – Penganalisa

Feb 19, 2023
Spread the love

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali.

Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan gabungan itu mendapat 31 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, tidak meyakinkan penganalisis politik

Sehubungan itu, penganalisis politik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata PH perlu menjelaskan bagaimana metodologi dan kaedah yang digunakan dalam merumuskan peratusan berkenaan.

“Angka itu hanya anggaran. Untuk membuat anggaran, perlu melihat kepada peti undi dalam satu-satu Parlimen dan kemudian melihat demografi Melayu dan bukan Melayu,” katanya menurut laporan MalaysiaNow.

Pada satu sidang akhbar baru-baru ini, Anwar menafikan dakwaan sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap rendah.

Angka 31 peratus itu katanya diperoleh daripada dapatan pasukan penyelidik PKR.

Menurut Anwar yang juga presiden PKR itu, sokongan kepada PH berada pada tahap rendah di Kelantan dan Terengganu, namun melebihi 50 peratus di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Beliau dipercayai merujuk kepada peratusan oleh pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) Bridget Welsh, yang menerbitkan dapatan awal menunjukkan PH hanya memperoleh 11 peratus undi Melayu.

Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 33 peratus undi Melayu manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh baki selebihnya.

Mazlan berkata, penyelidik tidak akan mempunyai data tepat kerana mereka tidak mengetahui kaum pengundi, melainkan nombor siri pada kertas undi dipadankan dengan maklumat pengundi.

“Mustahil perkara ini dapat dibuat, lagi pun undi itu rahsia,” kata Mazlan, yang menjalankan tinjauan sebelum PRU15 sambil menegaskan bahawa PH memperoleh kira-kira 18 peratus purata undi Melayu.

Menurutnya lagi, beliau menjalankan kajian di kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

Tinjauan secara fizikal katanya, jauh lebih tepat berbanding panggilan telefon yang mungkin tidak dijawab dengan baik oleh responden yang dihubungi pihak pengkaji.

Tinjauan menerusi panggilan telefon ialah satu cara yang pernah digunakan oleh badan pemikir yang dikepalai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Invoke.

Di bandar, sokongan Melayu kepada PH berada pada kira-kira 25 peratus, separa bandar (18 hingga 20 peratus) dan luar bandar (7 peratus).

“Namun angka 18 peratus ini tidak semestinya diterjemahkan dalam PRU. Mungkin pada saat-saat akhir ada isu yang menyebabkan penolakan atau penambahan undi kepada PH.

“Ada responden yang tiada masalah menjawab parti mana yang disokong, ada yang tidak tahu. Peratusan yang tidak tahu atau atas pagar melebihi kumpulan yang sudah membuat keputusan,” katanya.

Menurut Mazlan, angka sokongan kepada PH itu boleh meningkat kepada 25 peratus selepas responden membuang undi.

Katanya, PH banyak menang di kawasan majoriti Melayu di Pantai Barat, sekali gus menjadikan angka 11 peratus sokongan Melayu kepada PH yang disebut-sebut sebelum ini sebagai mustahil.

PH menjadi blok terbesar di Parlimen selepas memenangi 82 kerusi, diikuti PN dengan 74 kerusi.

BN pula menang 30 kerusi dan selebihnya ialah parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Mazlan berkata perbincangan mengenai angka sokongan kekal menjadi subjektif.

“Dapatan kajian juga mungkin berubah. Sikap responden semasa kajian dijalankan tidak sama dengan semasa mereka memangkah kertas undi.”