SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menutup sementara semua aktiviti pendakian di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri itu bermula 1 Disember ini hingga 31 Januari tahun hadapan.
Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abd. Majid berkata, tindakan itu perlu diambil memandangkan pada waktu itu adalah dalam tempoh musim tengkujuh serta bagi mengelak kejadian kemalangan kepada para pendaki.
Katanya, JPNS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar arahan terbabit di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
“JPNS akan menutup sementara semua aktiviti pendakian di dalam HSK Selangor berkuatkuasa mulai 1 Disember 2021 hingga 31 Januari 2022.
“Pelanggaran terhadap notis ini boleh diambil tindakan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Antara kawasan HSK yang menjadi tumpuan untuk aktiviti pendakian termasuk di Gunung Nuang, Bukit Broga dan Air Terjun Sofea Jane yang terletak di dalam daerah Hutan Selangor Tengah serta Bukit Kutu, Air Terjun Lata Medang dan Lata Macau di dalam daerah Hutan Hulu Selangor.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 03-55447000/03-55447507 atau emel ke admin_eco_park@forestry.gov.my-UTUSAN ONLINE