• Wed. Jun 7th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Sekolah sahkan pelajar disuruh tonton filem Anwar

May 24, 2023
Spread the love

PETALING JAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) mengesahkan program menonton filem biopik Anwar: The Untold Story bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di sebuah panggung wayang di Putrajaya malam tadi.

Penolong Kanan Tingkatan 6, Suziyah Selamat, berkata program itu atas jemputan pihak kementerian dan tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah itu, sambil menyifatkan ia sebahagian proses pembelajaran di luar bilik darjah.

“Jadi, bila kita nak bawa pelajar untuk aktiviti luar, kita kena sediakan surat untuk pemakluman kepada ibu bapa dan kita edarkan kepada ibu bapa yang terlibat saja,” katanya kepada FMT.

Sejak semalam tular surat rasmi dengan kepala surat sekolah berkenaan yang memaklumkan kepada ibu bapa mengenai program tayangan eksklusif itu.

Suziyah berkata, aktiviti itu tidak wajar dipolitikkan kerana ia sudah mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu, selain kandungan filem itu juga berkait dengan silibus pembelajaran Tingkatan 6 yang menyentuh isu rasuah dan pentadbiran negara.

“Pihak kementerian sediakan 50 tempat, jadi saya hanya serah surat kepada ibu bapa yang benarkan anak mereka pergi saja, kalau tak setuju anak mereka pergi, jangan bagi. Menteri pun tak paksa, cuma ia disalah erti apabila ia dipolitikkan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekolah itu juga sentiasa aktif terbabit dalam sebarang program dianjurkan menteri sebelum ini.

“Dulu Radzi Jidin jadi menteri, apa saja program kita tak ikut? Sebelum itu pula Maszlee Malik, kita ikut saja asalkan ia tak dikaitkan dengan politik, kami okay saja.”

FMT sedang mendapatkan penjelasan Fadhlina mengenai perkara itu.