• Thu. Feb 22nd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Sekumpulan lelaki pukul gelandangan dengan pemukul besbol di Klang

Jun 4, 2023
Spread the love

KLANG – Polis sedang memburu individu yang tular memukul lelaki dipercayai gelandangan dengan besi pemukul besbol di sekitar kawasan bawah jambatan dan sebuah pasar raya di Pelabuhan Klang, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesan dua video memaparkan empat lelaki disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta dan memukul mangsa hari ini.

Katanya, polis turut menerima satu laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun berkaitan klip video sama, pukul 12.02 tengah malam tadi.

“Kita setakat ini sedang berusaha mencari mangsa itu bagi mengetahui kejadian sebenar. Selain itu, polis masih mempergiatkan usaha mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hoong Fong, kertas siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan beberapa individu menaiki kereta bertindak memukul lelaki yang berada di tepi jalan dipercayai gelandangan. – KOSMO! ONLINE